Opens in a new tab

News / Sinar Harian

Tubuh lebih banyak Rumah Ngaji – BPMB dengan kerjasama WUI, Jakoa bantu masyarakat Orang Asli belajar dalami Al-Quran

Cameron Highlands – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) dengan kerjasama Warisan Ummah Ikhlas (WUI) merancang menubuhkan lebih banyak Rumah Ngaji di negara ini bagi menggalakkan masyarakat mendalami dan mempelajari Al-Quran.

Terkini, sebanyak enam Rumah Ngaji dibina untuk dimanfaatkan masyarakat Orang Asli di enam perkampungan Orang Asli terpilih di negara ini.

Rumah Ngaji untuk masyarakat Orang Asli terbabit telah disempurnakan upacara perasmian oleh Timbalan Presiden Kanan I/Ketua, Pembangunan Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Fauziah Hanim Baharin secara serentak seluruh negara bertempat di Rumah Ngaji Kampung Kuala Boh, di sini kelmarin.

Menurut Fauziah, Rumah Ngaji sumbangan BPMB di sini, difahamkan merupakan program Rumah Ngaji bersama masyarakat Orang Asli pertama seumpamanya di Malaysia yang mana lima lagi akan menyusul selepas ini.

Program ini merupakan satu usaha dan inisiatif BPMB dengan kerjasama Warisan Ummah Ikhlas, Kumpulan Media Karangkraf serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sendiri.

Ia merupakan program yang bermula dari kempen #KitakanIslam yang mana ia merupakan pelaksanaan program Cuci-Pulih-Iqra selepas banjir di Pantai Timur sebelum ini, katanya.

Menurutnya lagi, sebelum ini BPMB yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan itu juga telah menyumbangkan sebanyak empat Rumah Ngaji atau bilik mengaji di Masjid Lundang, Kelantan. Selain menyumbangkan Rumah Ngaji di perkampungan Orang Asli, pihak BPMB turut menubuhkan serta bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk menubuhkan Rumah Ngaji di 10 penjara seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Saya percaya dengan pelaksanaan Rumah Ngaji di ke semua tempat yang disebutkan tadi dapat mengukuhkan ikatan antara syarikat korporat dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang di samping dapat menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan serta kerohanian sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan terpilih, katanya.

Tambahnya, ia juga sebagai salah satu bentuk tanggungjawab social korporat BPMB di mana dengan aktiviti sedemikian dapat merapatkan silaturahim antara masyarakat luar dengan BPMB seterusnya membawa kepada penyatuan umat Islam di negara ini berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Majlis perasmian terbabit turut dihadiri Pengerusi WUI, Datuk Abdul Jalil Ali, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pengurusan Jakoa, Suhaimi Mahmud dan Tok Batin Kampung Kuala Boh, Nordin Abdullah.

Suhaimi dalam pada itu pula berkata, beliau melahirkan setinggi penghargaan kepada pihak BPMB kerana telah menyumbangkan Rumah Ngaji terbabit dan dimanfaatkan oleh masyarakat Orang Asli. Ia merupakan suatu tindakan yang murni di mana pihak Jakoa akan membantu BPMB untuk memantau perkembangan Rumah Ngaji masyarakat Orang Asli agar ia dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat di sini dan lima buah yang lain, katanya.

Tambahnya, pemilihan lokasi penubuhan Rumah Ngaji di enam buah perkampungan Orang Asli di negara ini adalah berdasarkan peratusan mereka yang beragama Islam selain kemudahan Pembangunan yang terdapat di kampung terbabit.

Dalam pada itu, Nordin pula berkata, dengan adanya Rumah Ngaji terbabit, masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Boh dapat mendalami ilmu Al-Quran dengan lebih baik.

Dengan adanya Rumah Ngaji ini, masyarakat Orang Asli di sini tidak hanya tahu membaca surah Al-Fatihah sahaja, malah dapat membaca Al-Quran dengan baik mengikut tunjuk ajar yang akan diberikan nanti, katanya.