Opens in a new tab

News / Kosmo

Shaharuddin teraju baharu Bank Pembangunan

Kuala Lumpur – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) mengumumkan pelantikan Shaharuddin Zainuddin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa semalam.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, Shaharuddin sebelum ini menyertai Lembaga Pengarah BPMB sebagai Pengarah Bebas pada 13 Februari lalu dan berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Penilaian Kumpulan serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kumpulan dan Jawatankusa Kredit Lembaga berkenaan.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Shaharuddin dan yakin dengan kepimpinan, semangat dan komitmen beliau untuk menerajui Kumpulan BPMB mencapai kejayaan selain mempertingkatkan peranannya sebagai institusi pembangunan kewangan utama untuk negara dan rantau ini,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shaharuddin merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan University of East Anglia, United Kingdom.

Beliau juga merupakan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun dengan mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang perbankan dan kewangan antarabangsa. Beliau juga merupakan professional pelaburan, sekuriti dan niaga hadapan yang berkelayakan.

Selain itu, Shaharuddin merupakan Wakil Berdaftar Pihak Berkuasa Sekuriti dan Niaga Hadapan serta pemegang Sijil Pengurusan Pelaburan Pertubuhan Pengurusan Kawal Selia Pelaburan di United Kingdom.