Kuala Lumpur – Ramly Food Industries Sdn Bhd (Ramly) komited untuk mengukuhkan lagi portfolio perniagaan domestik dan eksportnya menerusi pembinaan Kompleks pengeluaran Ramly dengan melibatkan nilai pelaburan mencecah RM 1 bilion.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni berkata, kompleks yang bakal didirikan di Halal Hab Pulau Indah, Selangor itu bakal dilaksanakan dalam tiga fasa dengan tiga barisan produksi akan dibangunkan sebagai permulaan.
Barisan produksi tersebut dijangka mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga tiga kali ganda daripada kilang sedia ada iaitu berbanding lima tan produk sejam buat masa ini.
Apabila siap menjelang akhir tahun 2017, ia dijangka dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport sekali gus mengukuhkan jenama Ramly di pasaran global bagi jangka masa panjang, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian pembiayaan bersindiket antara Kumpulan Ramly, Agrobank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) yang bernilai RM274 juta sini semalam.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden dan Ketua Pegwai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman serta Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan BPMB, Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi.
Kompleks Pengeluaran Ramly terdiri daripada kilang pengeluaran, depoh simpanan sejuk beku, kering dan logistik halal, pusat latihan, penyelidikan dan pembangunan serta kilang pengeluaran bagi vendor-vendornya di atas tanah berkeluasan 8.498 hektar.
Kilang pengeluarannya secara keseluruhan bakal mempunyai sehingga enam barisan pengeluaran, sekali gus mampu menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak enam kali ganda daripada kilang sedia ada.
Sementara itu, menurut Ramly, menerusi kilang baharu tersebut, pihaknya mengunjurkan untuk meningkatkan keuntungan syarikat sekurang-kurangnya tiga kali ganda apabila mula beroperasi kelak.
Pada tahun lepas, Ramly mencatatkan keuntungan sebanyak RM80 juta dan dengan adanya tiga barisan pengeluaran pada fasa pertama itu nanti, kami menjangkakan angka ini dapat ditingkatkan lagi, ujarnya.Ramly turut mengeksport produknya ke enam buah negara seperti Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia.
Press Release
BPMB Merekodkan Penganugerahan 18 Biasiswa BAGUS, Menjadikan Jumlah Pelaburan Keseluruhan Melebihi RM17 Juta
Read More