Ramly Group, menerusi anak syarikat Ramly Food Industries Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan dua bank bagi mendapatkan pembiayaan bersindiket berjumlah RM274 juta bagi membangunkan sebuah kompleks kilang baharu di Klang, Selangor.
Kilang yang dilengkapi kemudahan mesin automatik itu, akan dibina di Taman Perindustrian Halal Hub di Pulau Indah, Selangor.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni, berkata kompleks kilang di kawasan seluas 8.5 hektar itu akan merangkumi sebuah kilang pengeluaran, logistik halal, depo penyimpanan beku dan kering, jabatan pembangunan, pusat latihan serta penyelidikan.
Kami menghargai komitmen ditunjukkan kedua-dua bank terbabit dalam membantu syarikat Bumiputera seperti Ramly untuk mencapai kemajuan dalam industri pemprosesan halal toyibban (makanan yang bersih, baik dan selamat) di dalam negara dan pasaran antarabangsa, katanya pada majlis memeterai perjanjian pembiayaan bersindiket antara Ramly Food Industries dengan Agrobank dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu, Kuala Lumpur, semalam.
Ramly berkata, kompleks bernilai RM1 bilion itu, akan dibina dalam tiga fasa dan dijangka siap pada akhir tahun 2017.
Selepas siap, katanya, syarikat itu dijangka berupaya meningkatkan keuntungan sebanyak tiga kali ganda daripada RM80 juta setahun pada masa ini.
Beliau berkata, ia juga membolehkan syarikat memenuhi permintaan eksport yang semakin bertambah di Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia.
Kami sudah menjangkakan ringgit akan menjadi lebih lemah, mula menggunakan renminbi China sejak kira-kira enam bulan lalu bagi mengimport barangan makanan seperti kacang soya dan ayam, katanya.