Mendekati alam sekitar melalui sukan air ekstrem sedikit sebanyak memupuk rasa cinta dan memdidik semangat tanggungjawab orang ramai untuk terus memelihara keindahan bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Tambahan pula bagi masyarakat yang tinggal di bandar, mereka seolah-olah telah jauh daripada didedahkan dengan alam semulajadi dek kerana dikelilingi dengan pembangunan yang sangat pesat.
Dengan kesedaran yang ada, baru-baru ini, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) dengan kerjasama majalah tempatan menganjurkan program menyelusuri Sungai Kampar di Perak, menerusi aktiviti white water rafting sepanjang tujuh kilometer.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat BPMB, Lisda Abdul Moin, program itu merupakan satu jalinan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menggalakkan orang ramai mendekati alam sekitar dengan cara unik dan sihat. Dalam masa yang sama, aktiviti itu mengeratkan lagi hubungan kakitangan antara dua syarikat yang terlibat.
Tambahnya lagi, aktiviti mencabar white water rafting selama lebih dua jam itu memberi peluang kepada peserta tampil lebih berani, selain objektif dan mesej alam sekitar dapat disampaikan. Aktiviti mencabar ini memupuk semangat gigih berjuang dan kerjasama sepasukan yang tinggi untuk mengharungi cabaran sampai ke garisan penamat.
Walaupun kami saling tidak mengenali pada peringkat awal, tetapi kami tidak mengalami masalah untuk bekerjasama. Sambil bersukan, kita boleh lihat keindahan alam yang masih terpelihara. Bayangkan jika Sungai Kampar ini dicemari dan tidak sesuai lagi digunakan untuk aktiviti seperti ini. Sudah pasti ia membawa satu kerugian kepada kita semua,” katanya.
Sementara itu, penganjur bersama Armizi Mustapha berkata, program ini merupakan aktiviti luar pertama diadakan pada tahun ini dengan kerjasama BPMB, sekali gus membolehkan mereka mendekati serta mengajak 20 pembaca setia majalah berkenaan menyertai acara tersebut. Katanya, lebih 100 permohonan diterima tetapi hanya 20 peserta dipilih secara rawak sebagai penghargaan kepada mereka yang setia bersama majalah itu yang akan menyambut ulangtahun ke-15 pada September ini.
Usaha sama ini adalah untuk meraikan lebih lima tahun hubungan korporat selain mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin melalui aktiviti ekstrem dan program kemasyarakatan.
Banyak lagi aktiviti seumpama ini akan diadakan sepanjang tahun ini, antaranya pertandingan futsal secara besar-besaran pada September ini bersama badan-badan korporat yang terpilih, katanya. Sebelum pulang, peserta turut mengunjungi Rumah Anak-Anak Yatim Darul Hikmah, Kampar untuk beramah mesra dengan penghuni dan meluangkan masa bermain bola sepak bersama-sama. Seorang peserta, Shaiful Azri Zainal Abidin 35, berasa sangat teruja memandangkan ini kali pertama dia mencuba aktiviti lasak berkenaan.
Ini kali pertama saya sertai sukan air lasak. Memang mencabar dan menguji fizikal. Aktiviti seperti ini bagus untuk mencabar diri kita dan dalam masa sama mengeratkan silaturahim, katanya. Selain itu, Pengurus Teknikal BPMB, Arfian Yusof pula berpendapat aktiviti lasak itu dapat menjadikan kakitangan BPMB lebih aktif dalam beriadah, selain dapat melepaskan tekanan kerana kesibukan di tempat kerja.
Aktiviti lasak ini memang baik untuk kakitangan kerana ia menjadikan mereka lebih aktif, meningkatkan kercergasan, selain dapat mendekatkan diri kepada empat elemen iaitu air, api, tanah dan angina yang dekat dengan alam, katanya.