Mendekati alam sekitar melalui sukan air ekstrem sedikit sebanyak memupuk rasa cinta dan mendidik semangat tanggungjawab orang ramai untuk terus memelihara keindahan bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Sehubungan itu, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) dengan kerjasama majalah Maskulin dan Libur terbitan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraft) mengajak 60 peserta termasuk kakitangan dan pembaca menelusuri Sungai Kampar di Perak, meneroka aktiviti ‘white water rafting’ sepanjang tujuh kilometer (km), menerusi Maskulin Splash Day Challenge.
Pengurus Komonukasi Korporat BPMB, Lisda Abdul Moin berkata, program itu merupakan satu jalinan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama karangkraf bagi menggalakkan orang ramai mendekati alam sekitar dengan cara unik dan sihat dalam masa sama mengeratkan lagi hubungan antara dua syarikat.
Menurutnya, aktiviti mencabar ‘white water rafting’ selama lebih dua jam itu memberi peluang kepada peserta tampil lebih berani dalam masa sama objektif ‘mesej kepada alam sekitar’ dapat disampaikan.
Aktiviti mencabar ini memupuk semangat gigih berjuang dan kerjasama sepasukan yang tinggi untuk mengharungi cabaran sampai ke garisan penamat. “Sambil bersukan kita boleh lihat keindahan alam yang masih terpelihara. Bayangkan jika Sungai Kampar ini dicemari dan tidak sesuai lagi digunakan untuk aktiviti seperti ini sudah pasti ia membawa satu kerugian kepada ktia semua,” katanya.
Editor Maskulin, Armizi Mustapha berkata, program ini merupakan acara luar pertama diadakan bagi tahun ini bersama BPMB dengan mengajak 20 pembaca setia Maskulin menyertainya.
Katanya, lebih 100 permohonan diterima, bagaimanapun hanya 20 peserta dipilih secara rawak sebagai penghargaan mereka yang setia bersama Maskulin.
Usaha sama dengan BPMB ini meraikan lebih lima tahun hubungan korporat selain mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin melalui aktiviti ekstrem dan program kemasyarakatan. Banyak lagi aktiviti seumpama ini akan diadakan sepanjang tahun, antaranya pertandingan futsal secara besar-besaran anjuran Maskulin pada September ini bersama badan-badan korporat yang terpilih, katanya.
Sebelum pulang, peserta turut mengunjungi Rumah Anak-Anak Yatim Darul Hikmah, Kampar untuk beramah mesra dengan penghuni dan meluangkan masa bermain bola sepak bersama.