Eh…tengok buaya tu, elok sedang berjemur, nampak kita terus dia masuk ke dalam air. Nak kejar kita ke? gurau seorang penumpang yang menaiki bot menuju Taman Negara Bako (BNP), Sarawak.
Tekong bot, yang mahu dikenali sebagai Imran 33, kemudian menceritakan masyarakat di kawasan itu sebenarnya sudah ‘berkawan’ dengan buaya-buaya di sepanjang sungai dan memahami tabiat reptilia itu hingga mencipta satu ekosistem yang baik.
Imran kemudian mengemudi bot melalui bawah songkor (satu sarana tradisional menangkap udang dibuat daripada tiang-tiang kayu seakan bentuk huruf ‘Y’ yang dipancang ke dasar sungai di dua tempat, dengan jarak kira-kira 10 ke 15 meter antara satu sama lain).
Sebatang kayu direntangkan untuk menghubung kedua-dua tiang tadi, menjadikan ia seakan tiang gol yang besar di tengah sungai. Jaring-jaring diikat ke kayu ini sebelum dilabuhkan ke dalam sungai.
Dari jauh, sejenis perangkap ikan dipanggil ‘belat’ sedang diperiksa oleh nelayan. Rupa dan konsep penggunaannya sama seperti kelong, cuma untuk belat, kadang-kadang buaya pon turut ikut masuk bersama ikan.
Sampai di sebuah pantai, Imran memberhentikan botnya, ‘Air surut, kita kene turun di sini, jadi kene jalan kaki sedikit, ujarnya.
Redah Pantai
Ini sebahagian kecil daripada pengalaman indah pasukan The Four Elements (T4E) yang terdiri daripada 40 warga kerja Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) yang melawat Bako baru-baru ini.
Setibanya di pantai, semua peserta perlu berjalan kaki kira-kira 300 meter merentasi pantai sebelum tiba di kawasan chalet.
Mengangkut beg dan barangan sendiri merentasi pantai sebenarnya berbaloi dengan keringat yang diperah kerana sebagai ‘habuan’ tidak ternilai yang menanti.
Di depan mata, terbentang tebing-tebing batu dengan ketinggian kira-kira bangunan 10 tingkat. Kesan hakisan memberi sentuhan artistik kepada batuan ini serta memberikan warna-warna unik.
Dari jauh kelihatan rimbunan kehijauan tujuh jenis hutan yang juga ciri unik utama BNP. Jarang-jarang dapat dilihat apabila satu taman negara menempatkan tujuh jenis hutan dalam satu lokasi yang sama.
Kenali Pasukan T4E
Pasukan T4E adalah satu pasukan aktiviti lasak BPMB yang terdiri daripada pelbagai lapisan struktur organisasi bank ini, daripada pengurusan tertinggi hinggalah ke jawatan kerani.
Diketuai Nor Arfian Yusof, pasukan ini konsisten melaksanakan aktiviti lasak setiap tahun khusus untuk memberi bentuk cabaran baharu dan menarik kepada ahlinya.
Sehari selepas T4E menamatkan cabaran perlumbaan rakit buluh Padawan Raft Safari dekat sini, pengembaraan mereka diteruskan dengan kembara mengenali taman negara tertua negara ini,
Walaupun agak keletihan selepas bertarung separuh hari menyusuri Sungai Padawan, perasaan itu hilang serta merta bila disambut keindahan pantai dan hutan di Bako.
Kebanyakan mereka teruja bila dapat melihat buaya di sepanjang sungai Bako dalam perjalanan mereka menaiki bot ke taman negara.
Tinjau Masyarakat Sekitar
Sebelum T4E bergerak masuk ke BNP, mereka terlebih dahulu meluangkan masa melawat masyarakat setempat di Kampung Bako, sebuah kampung nelayan di sini.
Dalam lawatan ringkas ini, pihak Pengurusan BPMB diwakili Timbalan Presiden Kanan Perbadanan Pelaburan, Sulaiman Abd Rahim melihat sendiri keadaan hidup dan perusahaan belacan oleh penduduk tempatan.
Jujurnya, saya tak pernah dengar pun tempat bernama Bako sebelum ini. Tapi sebaik mendapat tahu tentangnya, saya jadi teruja untuk ke sini, kata Sulaiman kepada Bernama.
Sebelum menyampaikan sumbangan kepada 15 penduduk miskin dan dana membaik pulih masjid kampung ini, Sulaiman turut menyatakan komitmen jangka masa panjang BPMB untuk terus memberi lebih sumbangan kepada warga Malaysia Timur dalam program-program akan datang.
Cabaran Memasak
Anggota T4E tidak perlu menunggu lama sebelum diberi cabaran pertama daripada beberapa cabaran yang disusun khas sepanjang keberadaan mereka di BNP.
Pertandingan Junior Masterchef Jungle Challenge menguji keupayaan semua peserta menyediakan lima hidangan tradisional Sarawak menggunakan cara survival hutan.
Lima hidangan yang ditugaskan adalah sup terung Dayak ikan salai, manok pansoh daun ubi, tepus dan bungkang, umai preserved obor-obor, kerabu midin dan nasi putih dimasak dalam batang buluh.
Sebelum memasak, mereka terlebih dahulu perlu mencari ‘harta karun’ iaitu bahan-bahan mentah untuk dimasak.
Kerancakan operasi memasak turut menjadi lebih mencabar dan kecoh seketika bila babi hutan yang tertarik dengan bau masakan dan cuba masuk ke kawasan memasak.
Dalam masa sejam, anggota T4E yang dibahagikan dalam empat kumpulan berjaya menyiapkan hidangan yang ditugaskan.
Hasil masakan diadili sebelum dihidangkan untuk santapan bersama. Pasukan ‘Fire’ dinobatkan sebagai juara.
Rentas Hutan
Satu aktiviti yang wajib dilakukan di BNP ialah merentas hutan. BNP adalah satu-satunya taman negara di Malaysia yang mempunyai tujuh jenis hutan dalam satu lokasi sama.
Pada 1971, ahli botani Inggeris, Peter Shaw Ashton menjadi orang pertama yang menyenarai semua jenis hutan yang terdapat di sini iaitu Mangrove Fores, Beach Forest, Cliff Forest, Mixed Dipterocarp Forest, Heath Forest, Open Scrubland and Peat Swamp Forest.
Pelancong boleh memilih mana-mana antara 16 laluan yang disediakan BNP. Laluan paling pendek ialah laluan Tanjung Sapi sejauh 400 meter dan yang paling panjang ialah Teluk Lima sepanjang 13 kilometer.
Di sepanjang laluan, pelancong dapat melihat sendiri kepelbagaian tumbuhan dan haiwan di sini seperti kangkung laut, periuk kera, proboscis monkeys, flying lemur, penyu dan pit vipers.
Namun bagi ekspedisi kali ini, pasukan T4E memilih laluan Teluk Pandan Besar sejauh 1.9 kilometer. Bahagian paling mencabar dalam laluan ini ialah pendakian cerun setinggi 400 meter di bahagian awal laluan.
Butiran Bako
Eksekutif Taman BNP, Winne Akin memberitahu Bernama, BNP mendapat namanya daripada pokok bakau. Dalam loghat tempatan pokok bakau dipanggil dengan sebutan ‘bako’.
BNP juga adalah kawasan yang pertama digazetkan sebagai taman negara di negara ini. Dengan keluasan 2,727 hektar, ia ditubuhkan pada 1 Mei 1967, beberapa bulan sebelum Tanah Melayu diberi kemerdekaan dengan nama Muara Tebas Forest Reserve.
Tidak ada jalan darat menghubungkan BNP dengan kawasan sekitar. Urusan keluar masuk ke sini perlu menggunakan bot. Kerana itulah ramai pengunjung menyangka BNP adalah sebuah pulau, jelasnya lagi. Tahun lepas, BNP menerima kunjungan 47,554 pelancong. Daripada jumlah ini 32,689 adalah pelancong antarabangsa.