Opens in a new tab

News / Berita Harian

IPSB Technology, PLC meterai kerjasama RM45 juta untuk pacu digital negara

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025

Usaha ke arah mempercepat pendigitalan negara terus digiatkan apabila Integriti Padu Sdn Bhd (IPSB Technology) memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama Pembangunan Leasing Corporation Sdn Bhd (PLC), dalam satu inisiatif bernilai RM45 juta, Selasa lalu.

Kerjasama ini menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti pendidikan, penyiaran awam, transformasi perusahaan dan pemodenan infrastruktur.

Sebagai peneraju penyelesaian digital menyeluruh, IPSB Technology akan berganding bahu dengan PLC iaitu anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dalam menyediakan pembiayaan berinovatif termasuk skim sewa milik (lease-to-own) untuk menjayakan projek digital berskala besar.

“Kerjasama ini lebih daripada urusan perniagaan, ia juga menunjukkan betapa kuatnya komitmen bersama kami untuk membangunkan inovasi tempatan dan mengangkat kepakaran rakyat Malaysia,” kata Datuk Nasir Baki, Pengarah Urusan IPSB Technology.

“Dengan kerjasama bersama PLC, kita bukan saja membina infrastruktur digital yang lebih maju, tapi juga memperkukuh ekosistem tempatan yang mampan, dipacu oleh bakat dan kebolehan anak tempatan sendiri.”
Menurut Pengarah Eksekutif IPSB Technology, Mardhiah Nasir, kerjasama ini bukan sekadar aspek pembiayaan semata-mata, sebaliknya membentuk sebuah ekosistem kukuh yang mampu mempercepat dan meluaskan pelaksanaan teknologi masa hadapan secara menyeluruh.

“Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan kapasiti penyampaian secara lebih berkesan, bukan hanya dari segi teknikal tetapi juga dari sudut kelestarian dan skalabiliti. Ia memberikan kami keupayaan tambahan untuk menawarkan teknologi yang selamat dan berimpak tinggi, sejajar dengan hala tuju digital negara,” jelasnya.

IPSB Technology sebelum ini telah melaksanakan pelbagai projek digital utama, termasuk integrasi sistem, pembangunan perisian, platform kandungan digital serta migrasi awan dan kesemuanya disasarkan untuk memperkasa transformasi digital sektor awam dan swasta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PLC, Harman Saringat berkata, kerjasama bersama IPSB Technology mencerminkan komitmen berterusan PLC dalam menyokong pertumbuhan teknologi yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Dengan menawarkan pembiayaan projek yang fleksibel dan bertanggungjawab, PLC menyokong penyedia teknologi seperti IPSB Technology untuk melaksanakan projek dengan lebih pantas, cekap dan berkesan. Ini juga memastikan setiap pelaksanaan seiring dengan matlamat pembangunan negara,” katanya.

Melalui inisiatif bernilai RM45 juta ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur ICT dan memperkukuh keupayaan sektor utama negara dalam mendepani cabaran ekonomi digital masa hadapan.

Kerjasama ini dijangka membawa kesan jangka panjang terhadap landskap digital negara dan membuka lebih banyak peluang kepada sektor awam dan swasta untuk meneroka teknologi baharu secara inklusif dan mampan.