Opens in a new tab

News / Harian Metro

Dapat biaya RM274j – Kompleks Ramly Food Industri Halal Hub

Kuala Lumpur – Ramly Food Industries melangkah setapak lagi apabila menerima pembiayaan bersindiket bernilai RM274 juta daripada Agrobank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi membina Kompleks Pengeluaran Ramly di Halal Hab Pulau Indah untuk fasa pertama.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni berkata, fasa pertama dijangka siap pada 2017 dan akan menghasilkan 15 tan pengeluaran sejam berbanding lima tan sejam di kilang sedia ada.

Beliau berkata, jika kilang berkelengkapan mesin automatik itu mula beroperasi pada 2017, ia mampu memenuhi permintaan pasaran secara global termasuk eksport dan domestik.
Kami juga menyasarkan jualan akan meningkat tiga kali ganda berikutan kapasiti pengeluaran turut meningkat pada jumlah yang sama.

Kami juga akan mewujudkan 450 vendor di seluruh negara menjelang 2020 berbanding 37 setakat ini, dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Ramly Food, katanya pada sidang media di majlis Perjanjian Pembiayaan Bersindiket di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia, Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi.

Ramly berkata, buat masa ini produk Ramly dieksport ke enam negara iaitu Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia.

Beliau berkata, bagi ketiga-tiga fasa pembinaan Kompleks Pengeluaran Ramly, ia membabitkan pelaburan hampir RM1 bilion yang terdiri daripada kilang pengeluaran, depoh simpanan sejuk beku, kering dan logistik halalm pusat latihan, penyelidikan dan pembangunan, serta kilang pengeluaran bagi vendor Ramly di atas tanah berkeluasan 8.4 hektar.

Menurutnya, Kumpulan Ramly juga sudah mewujudkan kira-kira 25,000 gerai burger Ramly di seluruh negara yang dapat membantu usahawan menjana pendapatan tambahan sebulan sehingga RM5,000 sebulan.

Sementara itu, Wan Mohd Fadzmi berkata, Agro Bank dan Bank Pembangunan membiayai sebanyak 50:50 daripada RM274 juga terbabit.