Opens in a new tab

News / Berita Harian

Gaji kakitangan bukan eksekutif BPMB naik sehingga 13 peratus

KUALA LUMPUR, 22 June 2025

Kakitangan bukan eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) bakal menikmati pelarasan gaji sehingga 13 peratus, manakala kadar kenaikan tahunan lima peratus kekal diteruskan menerusi pemeteraian Perjanjian Kolektif ke-13 antara bank itu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Komersial (NUCW).

Perjanjian itu turut memperkenalkan pelbagai penambahbaikan lain termasuk kelayakan cuti yang diperluas, manfaat perubatan yang lebih menyeluruh serta elaun tempat kerja yang ditambah baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Datuk Muzaffar Hisham, berkata pemeteraian perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama antara bank dan kesatuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan menyokong kebajikan pekerja.

“Setiap penambahbaikan yang diperkenalkan mengambil kira kepentingan warga kerja kami kerana mereka adalah tulang belakang kejayaan berterusan BPMB,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Ibu Pejabat BPMB pada Jumaat lalu dan disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi bank dan wakil NUCW.

Perjanjian yang berkuat kuasa kepada semua pekerja bukan eksekutif itu adalah hasil rundingan yang bermula pada 7 Ogos 2024 dan diselesaikan dalam masa tiga sesi menjelang 29 Ogos 2024.

Ia kemudiannya diluluskan oleh Lembaga Pengarah BPMB dan seterusnya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 22 April 2025.

Antara penambahbaikan utama ialah perluasan cuti termasuk cuti bersalin dan paterniti yang lebih panjang, cuti ihsan yang lebih menyeluruh serta pengenalan cuti Haji bagi kakitangan yang telah lama berkhidmat.

Manfaat perubatan juga ditingkatkan dengan had rawatan pesakit luar dan dalam yang lebih tinggi, perlindungan kehamilan yang diperluas serta elaun saringan kesihatan tahunan yang baharu.

Selain itu, elaun tempat kerja disemak semula termasuk tuntutan perjalanan dan makanan yang lebih tinggi, peruntukan tahunan untuk kasut seragam dan bayaran balik bagi penggunaan telefon bimbit.

Bank itu turut memperkenalkan kemudahan baharu yang membenarkan pemindahan dan penebusan sebahagian cuti tahunan yang tidak digunakan, selaras dengan keutamaan terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja.