Tanggal 10 Jun 2015 menjadi sejarah bagi penduduk Kampung Kuala Boh, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, Pahang apabila Rumah Ngaji di perkampungan Orang Asli pertama dirasmikan di negara ini.
Program mengimarahkan pengajian Al-Quran ini dibarakan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) sebagai penaja utama dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Presiden Kanan I/Ketua Pembangunan Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Fauziah Hanim Baharin. Beliau dalam ucapannya berkata, BPMB menyumbang Rumah Ngaji di Kampung Kuala Boh untuk memberi ruang pengajian Al-Quran yang teratur dan sistematik dalam suasana lebih selesa.
Kami berharap sumbangan serta penubuhan Rumah Ngaji dapat digunakan sebaiknya untuk dikongsi oleh semua lapisan masyarakat Orang Asli di kampung ini serta mendalami ilmu Al-Quran.
Program ini bermula dengan program #Kitakan Islam, di mana ia merupakan perlaksanaan program Cuci-Pulih-Iqra di masjid atau surau selepas banjir di Pantai TImur, seterusnya menubuhkan Rumah Ngaji di sana, yang didirikan oleh WUI.
BPMB juga menaja empat Rumah Ngaji di Masjid Mukim Ludang, Kelantan baru-baru ini. Selepas penubuhan Rumah Ngaji di Kampung Kuala Boh, insya-ALLAH, lima perkampungan Orang Asli bakal menyusul iaitu Kampung Gelang Patah (Johor), Kampung Tun Abdul Razak (Selangor), Kampung Sungai Rual (Kelantan), Kampung Kenang (Perak) dan Kampung Bukit Payung (Melaka).
Beliau menambah, BPMB sebagai penaja utama turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk menubuhkan Rumah Ngaji di 10 penjara di seluruh negara. Ini secara langsung dapat mengukuhkan ikatan antara syarikat korporat dengan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan dan kerohanian.
Sebagai bank yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, BPMB melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui aktiviti sebegini, yang boleh meningkatkan imej, memberi pengetahuan kepada masyarakat serta membawa penyatuan umat Islam di tanah air berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pengurusan JKOA, Suhaimi Mahmod; Pengerusi WUI, Datuk Abd Jalil Ali; Timbalan Pengerusi KMK, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; dan Tok Batin Kampung Kuala Boh, Nordin Abdullah.
Sementara itu, Suhaimi yang menghargai sumbangan pihak BPMB berkata, aktiviti Rumah Ngaji memberi pendekatan yang sama dari segi konsep dan peranan di enam perkampungan Orang Asli dalam mengimarahkan ayat-ayat cinta Al-Quran dan syiar Islam.
Pihak JKOA akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap usaha murni BPMB dalam mengimbangi Pembangunan fizikal dan rohani, seterusnya membina modal insan serta pembentukan peribadi khususnya kalangan masyarakat Orang Asli, katanya.