Akan dibuka dalam tab baharu

Berita / Berita Harian

Program BH berkesan

Kuala Lumpur – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja kira-kira 200 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) termasuk anak kakitangannya menyertai Seminar Bimbingan Peperiksaan UPSR Fasa 1 dan 2.
Seminar anjuran BPMB dengan kerjasama BH itu turut menerima maklum balas positif calon UPSR dari enam sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden II/Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Abdul Hanif Abu Bakar, berkata pihaknya meneruskan tajaan bersama BH bagi tahun kedua selepas mendapati program itu amat berkesan dalam membantu calon menghadapi peperiksaan itu.

Persediaan terakhir

Inisiatif yang diambil BPMB bertepatan untuk calon membuat persediaan terakhir menduduki peperiksaan itu.  Selain itu, Seminar Bimbingan Peperiksaan UPSR ini sebagai pemantapan bagi calon membuat latihan sistematik, sekali gus membuka minda mereka untuk menduduki peperiksaan dengan lebih yakin, katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Majlis perasmian dan penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Presiden BPMB, Mohammed Rafidz Ahmed Rassidi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Sumber Manusia Kumpulan, Fauziah Hanim Baharin.  

Abdul Hanif berkata, selain UPSR, pihaknya turut berhasrat menaja calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM, tidak lama lagi.

Pengalaman penceramah

Katanya, kerjasama dengan BH itu diteruskan kerana yakin dengan kebolehan dan pengalaman penceramah BH.

Sementara itu, peserta Mohammad Haikal Saputra Zainul Arifin, berkata seminar itu banyak membantunya memperbaiki kelemahan dalam beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Melayu dan Sains.  Saya gembira apabila terpilih menyertai program ini dan berharap segala ilmu yang dikongsikan penceramah dimanfaatkan dalam UPSR, kata murid Sekolah Rendah (SK) Jalan Raja Muda itu.

Pendapat sama disuarakan Ayra Zahia Noor Hisham dar SK Taman Midah (1), yang menyifatkan dirinya bertuah apabila dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan dalam penulisan Bahasa Melayu.

Ayra Zahia yang juga anak kakitangan BPMB berkata, dia berpuas hati dengan penerangan diberikan penceramah dan berharap mampu mencapai kecemerlangan dalam UPSR.