Akan dibuka dalam tab baharu

Berita / Sinar Harian

Muip lancar e-Wakaf

Pekan – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) semalam melancarkan Sistem Dana Wakaf Pahang atau e-Wakaf bagi membolehkan orang ramai berwakaf di Pahang secara atas talian.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, system e-Wakaf yang dibangunkan syarikat ZNN Technology itu menetapkan nilai minimum RM5 bagi memudahkan dan menggalakkan lebih banyak individu melakukan amal jariah.

e-Wakaf juga menjimatkan masa, tenaga dan wang pewakaf, selain mereka juga boleh peroleh rekod dan penyata wakaf secara atas talian.

Penjanaan laporan wakaf juga dapat dilakukan secara efisien selain dapat menyebarkan info wakaf dengan lebih cepat, katanya pada majlis pelancaran e-Wakaf di Dewan Utama Muip di sini, semalam. Majlis pelancaran itu disempurnakan Yang Dipertua Muip, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Wan Abdul Wahid berkata, mereka yang berminat menggunakan e-Wakaf hanya perlu melakukan empat langkah mudah iaitu mendaftar di http://ewakaf.muip.gov.my, memilih jenis wakaf, membuat pembayaran dan mencetak resit.

Pada majlis sama, Pusat Kutipan Zakat Pahang turut menerima zakat perniagaan berjumlah RM3.84 juta daripada enam badan korporat.

Bank Kerjasama Rakyat Berhad membayar zakat berjumlah RM1.26 juta, diikuti Tenaga Nasional Berhad (RM1.04 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM782,622.10), DRB Auto Solution Sdn Bhd (RM355,467), Alam Flora Sdn Bhd (RM285,475) dan Telekom Malaysia Berhad (RM128,469).