Akan dibuka dalam tab baharu

Berita / Sinar Harian

Masjid Angkat Pertama Rumah Ngaji

Kota Bharu – Masjid Lundang diisytiharkan sebagai masjid angkat pertama Rumah Ngaji di negara ini, menerima peruntukan RM100,000 setahun melibatkan aspek infrastruktur, kemahiran, elaun guru dan kos operasi.

Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, langkah permulaan itu akan diteruskan di masjid enam negeri lain bagi mengaktifkan masyarakat.

Kita sudah mengkaji beberapa masjid seluruh Kelantan dan mendapati Masjid Lundang aktif apabila banyak aktiviti dijalankan, malah penyertaan untuk Rumah Ngaji juga melebihi sasaran berdasarkan sokongan masyarakat setempat.

Kita akan kenal pasti seberapa masjid lagi yang dapat mengikuti program ini, katanya selepas merasmikan Masjid Angkat Rumah Ngaji, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) di Masjid Lundang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif YWUI, Marhaini Yusoff; Imam Tua Masjid Lundang, Shamsuddin Abdul Rahman; pendakwah bebas, Syed Mohd Nor Hisyam Al-Idrus dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Wan Abdul Aziz berkata, selain masjid, BPMB juga menyumbang RM500,000 untuk program Rumah Ngaji di sepuluh penjara dan dakwah Islam kepada Orang Asli. Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan peruntukan lebih RM100,000 bagi membantu mangsa banjir di Kuala Krai dan Pengkalan Chepa.

Sementara itu, Hussamuddin yang juga pengasas YWUI berkata, BPMB menjadi syarikat korporat pertama menggerakkan program Rumah Ngaji. Sumbangan ini membuatkan (YWUI) tidak ‘keseorangan’ dan sudah pasti langkah ini menjadi penggerak badan korporat lain sertai kami, katanya.