Kuala Lumpur – Ramly Food Industries Sdn Bhd yang terkenal dengan produk sejuk beku Ramly Burger akan melabur hampir RM1 bilion bagi membina kilang yang dilengkapi mesin automatik sepenuhnya di Taman Perindustrian Halal Hab, Pulau Indah Klang, Selangor.
Pengarah Urusan Kumpulan Ramly, Datuk Ramly Mokni berkata, kebanyakan kos bagi pembinaan kilang yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2017 itu akan menggunakan dana dalaman, manakala RM274 juta menerusi kerjasama dengan Agro Bank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) di bawah pembiayaan bersindiket.
Katanya, kilang pengeluaran yang dibina dengan keluasan 8.5 hektar itu bakal dilengkapi dengan kilang pengeluaran enam line bagi fasa pertama, kemudahan depot simpanan sejuk beku, kering serta logistik halal (fasa kedua), pusat latihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah fasa ketiga.
Bagi fasa pertama terdapat dua bahagian iaitu Pembangunan tiga line melibatkan pelaburan sebanyak RM320 juta bagi menampung pengeluaran sebanyak 15 tan per jam, berbanding hanya lima tan per jam di kilang sedia ada di Mukim Batu, Batu Caves, fasa kedua melibatkan pelaburan RM100 juta manakala fasa ketiga melibatkan kos RM400 juta.
Berdasarkan hasil pengeluaran di kilang Mukim Batu ini kami berjaya memperoleh RM80 juta setahun dan menyasarkan keuntungan berlipat kali ganda di kilang baharu kelak kerana kos operasi di situ lebih rendah berikutan penggunaan mesin automatik sepenuhnya, katanya dalam sidang akhbar di Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Batu Caves di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menandatangani perjanjian pembiayaan bersindiket antara Ramly Food Industries dengan Agro Bank yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan BPMB diwakili Presidennya, Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi yang disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mengulas lanjut, Ramly berkata 70 peratus daripada 100 tan metrik hasil pengeluaran fasa pertama daripada kilang baharu itu akan digunakan bagi menampung permintaan tempatan melibatkan 450 vendor dan 25,000 gerai burger di 35 cawangan seluruh negara, manakala 30 peratus untuk tujuan eksport.
Katanya, hasil pengeluaran fasa kedua pula dijangka memasuki pasaran eksport di enam negara iaitu Thailand, Singapura, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Kemboja sebelum bersaing di pasaran seluruh dunia.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya telah merancang tiga hingga enam bulan lebih awal sebelum berlakunya kejatuhan nilai ringgit dengan meminta kerjasama negara pengimport menukar pembayaran mereka kepada mata wang selain dolar Amerika Syarikat (AS).Kejatuhan nilai riggit ketika ini memang memberi kesan tetapi kita ada perancangan tiga hingga enam bulan lebih awal, misalnya meminta negara pengimport menukar daripada dolar As ke yuan China. Kita perlu ada perancangan ke hadapan dalam perniagaan ini, jika tidak kita akan mengalami masalah pemprosesan akibat daripada kos yang meningkat, katanya.
Siaran Akhbar
BPMB perkukuh ekosistem pembiayaan iklim Malaysia menerusi kohort kedua “Climate Finance Innovation Lab”
Read More