Akan dibuka dalam tab baharu

Berita / Sinar Harian

Kepulangan Senoi Praaq bawa sinar

Menyertai program perasmian Rumah Ngaji yang penuh bermakna kali ini, penulis berkesempatan meninjau persekitaran kampung dan bertemu dengan penduduk untuk mengetahui latar belakang Kampung Kuala Boh dan kisah pengislaman mereka.

Kampung Kuala Boh merupakan satu daripada 27 perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands. Ia terletak hampir sejam perjalanan dari Tanah Rata dan perlu melalui jalan bersimen dan agak sempit sepanjang 3km di lereng bukit untuk sampai ke kampung tersebut. Kelihatan terdapat juga kawasan penanaman anak pokok buah-buahan ditandai dengan batang kayu, ditanam di celah-celah pokok hutan itu.

Apabila melihat suasana pohon menghijau dan berkabus terutama di waktu pagi, ia menyajikan panorama indah dan mendamaikan. Kedatangan kami di Kampung Kuala Boh disambut mesra kanak-kanak datang mengerumuni. Sambil menghirup udara segar di sini, penulis rasa beruntungnya dapat bersama mereka di sini. Siapa sangka di sebalik rimbunan hutan di kawasan tinggi Cameron Highlands, terdapat sebuah perkampungan Orang Asli yang mendapat hidayah ALLAH SWT.

Biarpun perkampungan mereka jauh di kawasan pendalaman, namun mereka senang menerima kunjungan tetamu. Itulah buktinya Islam itu indah. Keindahan Islam itu terletak pada akhlak mulia sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.

Eratkan Silaturahim
Sehari sebelum majlis bermula, kakitangan BPMB, WUI, KMK, JKOA dan bersama beberapa agensi kerajaan lain berganding bahu membuat persiapan. Penggunaan bunga segar dan batang buluh sebagai hiasan di meja dan ‘pentas’ menambahkan seri majlis. Pihak kontraktor turut sibuk menyiapkan kemasan terakhir bangunan Rumah Ngaji sebelum digunakan sepenuhnya. Kerja masak-memasak diketuai oleh Pegawai Kerohanian Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Mohd Yusuf Nasri 58. Beliau bersama rakan dari Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands turun padang selepas mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan masing-masing untuk membantu aktiviti bersama masyarakat Orang Asli.

Kerja kemasyarakatan menjadi sebahagian kehidupan kami sebagai kakitangan kerajaan, terutamanya jika tinggal di kawasan perkampungan. Ini dapat mengeratkan perhubungan kami dengan mereka.

Tugas memasak dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk tempatan. Ini menambahkan keseronokan bila dapat bersama bertukar-tukar cerita sambil menyiapkan masakan, katanya sambil tersenyum.

Penghulu Mukim Ulu Telom Kampung Kuala Boh, Mohd Zuki Mohamad memberitahu terdapat lima kampung Orang Asli di bawah tanggungjawabnya. Kampung Kuala Boh merupakan kampung pertama yang mempunyai 95 keluarga dan 450 penduduk beragama Islam sepenuhnya di Cameron Highlands.

Tok Batin Kampung Kuala Boh, Nordin Abu Bakar 61, berkata sejak penduduk di sini menerima Islam, banyak perubahan berlaku dalam gaya hidup, cara berpakaian dan perhubungan sesama mereka semakin rapat.

Kampung kami asalnya adalah kawasan hutan. Nama Kuala Boh diambil sempena nama tempat pertemuan Sungai Boh dan Sungai Menson, yang mengapit di kanan kiri kampung ini. Dahulu, kedua-dua air sungai ini jernih dan mempunyai banyak ikan. Selain menjadi sumber air, ia menjadi sumber rezeki kami untuk menangkap ikan. Tapi sungai tersebut sudah tercemar akibat aktiviti pertanian yang rancak di sekitar Cameron Highlands.

Rata-rata penduduk di sini bekerja kampung. Dulu kami mencari akar kayu, durian, petai dan menanam padi huma untuk menyara kehidupan. Tapi tanaman padi huma kini tidak dijalankan kerana selau dirosakkan oleh binatang liar seperti lotong dan babi hutan, katanya. Apabila ditanya tugak tok batin yang dikatakan boleh mengubati orang, Nordin sambil ketawa berkata, itu mungkin dahulu. Sekarang tak lagi. Tok batin hanya sebagai Ketua masyarakat, jika ada yang sakit, kami hantar ke klinik atau hospital.

Nordin yang memeluk Islam pada 1992, memberitahu orang kampung mula mengenali Islam semenjak kepulangan anak jati kampung sebagai Senoi Praaq yang memeluk Islam pada 1960an. Penduduk semakin ramai menerima Islam selepas kumpulan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) datang di situ untuk menjalankan program bakti siswa pada 1991.

Rata-ratanya orang kami tertarik dengan cara hidup Islam. Pengislaman penduduk di sini secara berperingkat sehinggalah 2008, barulah kesemuanya. Kami berasa gembira menerima kunjungan orang luar ke sini. Dengan adanya Rumah Ngaji, ini lebih bagus untuk dimanfaatkan oleh penduduk di sini, katanya.

Jasa Haji Said
Mohamad Abdullah 80, yang merupakan generasi pertama di kampung itu berkata, sejarah pengislaman di Kampung Kuala Boh bermula dengan 10 penduduk Orang Asli dari Cameron Highlands yang menyertai Senoi Praaq (dalam bahasa Semai bermaksud Orang Perang) pada 1950an.

Beliau yang juga seorang daripada kumpulan perintis Senoi Praaq itu berkata perjuangan mereka mendapat pengiktirafan oleh penjajah British dalam menjaga keselematan negara daripada ancaman komunis sebelum merdeka. Sebahagian daripada rakan Mohamad telah memeluk Islam selepas tertarik dengan cara hidup Islam kalangan askar Melayu di kem askar, Greenwood, Gombak dan Maxwell, Kuala Lumpur. Selepas pulang ke kampung halaman pada akhir 1960an, berita keislaman kumpulan Senoi Praaq di Kuala Boh diketahui oleh pesara kerajaan dari pejabat agama Islam, Allahyarham Haji Said yang tinggal di estet berhampiran.

Haji Said berusia lebih 60 tahun dan uzur. Dia selalu berulang-alik ke kampung kami dengan menaiki motor kapcai dan meredah denai yang becak untuk memasuki kampung kami. Dia mengajar Islam di sini pada akhir 1980an sehingga awal 1990an. 

Sumbangan Haji Said bukan sekadar memberi ilmu agama, malah dia turut menyumbangkan barang dapur untuk masakan berbuka puasa. Jika sebelum ini, mereka hanya menikmati ubi kayu yang diberikan oleh jiran.

Sebelum ini, masyarakat orang asli suku Semai di sini memegang kepada adat dan kepercayaan semangat alam semula jadi. Setelah menerima Islam, barulah hidup mereka berpedoman. Mohamad memberitahu, mereka yang berkhidmat sebagai Senoi Praaq menerima pendapatan RM90 sebulan ketika itu. Namun selepas bersara, mereka tidak menerima sebarang sumbangan atau pampasan daripada mana-mana pihak bagi menghargai perjuangannya.

Tak ada siapa yang memandang kami lagi. Sebahagian daripada kami sudah pun meninggal dunia. Hidup kami bergantung kepada pendapataan anak cucu yang menjaga kami, itulah luahan hati Mohamad yang memeluk Islam dalam 1990an.

Tambahnya, majlis pengislaman beramai-ramai di Kampung Kuala Boh berlaku sekitar 1991. Beliau memilih Islam kerana melihat banyak kebaikan yang dibawa dalam kehidupan. Hatinya tersentuh dengan cara pengurusan jenazah yang dilakukan secara tertib dan dikebumikan dalam satu kawasan perkuburan yang lebih selamat.

Setelah menjadi saudara baru, saya dapat duit zakat fitrah RM200 sebulan. Terima kasih juga saya kepada Sultan Pahang sebagai Ketua agama, ujarnya.

Semangat belajar Al-Quran 
Kampung Kuala Boh juga mempunyai masjid yang mendapat pengiktirafan untuk bersolat Jumaat. Lebih membanggakan apabila imam masjid tersebut, Zul Singkop 37, dan Manaf Busu 43, merupakan anak jati kampung tersebut dapat mengimarah rumah ALLAH itu bersama penduduk kampung.

Zul berkata, Masjid Kuala Boh yang dibina pada 2003 mampu memuat 100 orang itu dalam satu masa. Solat berjemaah lima waktu sehari sentiasa dilakukan kerana mendapat sambutan penduduk tanpa mengira usia.

Apabila bulan puasa, rasa seronok waktu berbuka, bertarawih dan moreh. Antara kemudahan masjid ini seperti tempat mandi jenazah, tempat memasak dan dewan yang kini diubahsuai menjadi Rumah Ngaji.

Kami berharap masjid ini dapat dibesarkan lagi pada masa hadapan bagi memberi ruang untuk golongan wanita. Dengan adanya Rumah Ngaji di sini, ini memberi peluang penduduk Orang Asli untuk mempelajari kalamullah dengan lebih selesa dan bersistematik.

Kelas mengaji di Rumah Ngaji akan dikendalikan oleh lima guru agama yang merupakan anak tempatan di sini. Seramai 30 peserta mengikuti kelas yang diadakan pada setiap Isnin, Selasa dan Khamis bermula jam 2 hingga 4 petang.

Atan Ali 28, penduduk kampung berkata, saya pernah belajar mengaji sampai iqra 6 dengan Imam Zul di masjid. Bila ada Rumah Ngaji, saya rasa bersemangat untuk belajar kerana suasana yang selesa dan cantik.

Semoga ayat-ayat cinta ALLAh yang dihidupkan di Rumah Ngaji Kampung Kuala Boh ini terus menyemarakkan kehidupan masyarakat Orang Asli yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat. Usaha BPMB dan pihak yang terbabit dalam mengimarahkan Rumah Ngaji untuk menyebarkan ayat-ayat cinta ALLAh dalam kalangan rakyat di negara ini wajar dijadikan contoh dalam perkongsian ilmu dan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat.

Bagi mana-mana syarikat korporat, agensi kerajaan mahupun perseorangan yang berminat menubuhkan atau menaja Rumah Ngaji, sila hubungi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Lot 1, Jalan Renggam 15/5, Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor.