Perjalanan menyusuri sungai ke Taman Negara Bako, Kuching Sarawak dipenuhi dengan debaran tatkala terserempak kelibat sang buaya. Kehadiran reptilia itu menarik perhatian penumpang bot.
Tekong bot, yang mahu dikenali sebagai Imran 33, menceritakan masyarakat di kawasan tersebut sebenarnya sudah ‘berkawan’ dengan buaya-buaya di sepanjang sungai itu. Mereka memahami tabiat buaya-buaya hingga mencipta satu ekosistem yang baik.
Dari jauh, sejenis perangkap ikan dipanggil ‘belat’ sedang diperiksa oleh nelayan. Rupa dan konsep penggunaannya sama seperti kelong, Cuma belat kadang-kadang buaya pun turut masuk bersama ikan.
Sampai di sebuah pantai, Imran memberhentikan botnya, “Air surut, jalan kaki sedikit,;” ujarnya. Pengalaman tersebut terpaksa yang ditempuh pasukan “The Four Elements (T4E)” yang terdiri daripada 40 warga kerja Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) ketika melawat kawasan tersebut baru-baru ini.
Aktiviti
Diketuai Nor Arfian Yusof, pasukan itu konsisten melaksanakana aktiviti lasak setiap tahun khusus untuk memberi cabaran baharu dan menarik kepada ahli-ahlinya. Sebelum T4E bergerak masuk ke Taman Negara Bako, mereka terlebih dahulu meluangkan masa melawat masyarakat setempat di Kampung Bako, sebuah kampung nelayan di situ.
Dalam lawatan ringkat tersebut, pihak Pengurusan BPMB diwakili Timbalan Presiden Kanan Perbadanan Pelaburan, Sulaiman Abd. Rahim melihat sendiri keadaan hidup dan perusahaan belacan oleh penduduk setempat.
Saya tak pernah dengar pun tempat bernama Bako sebelum ini. Tapi sebaik mendapat tahu tentangnya, saya jadi teruja untuk ke sini, kata Sulaiman. Sebelum menyampaikan sumbangan kepada 15 penduduk miskin dan dana membaik pulih masjid kampung tersebut, Sulaiman turut menyatakan komitmen jangka masa panjang BPMB untuk terus memberi lebih sumbangan kepada warga Malaysia Timur dalam program-program akan datang.
Anggota T4E tidak perlu menunggu lama sebelum diberi cabaran pertama daripada beberapa cabaran yang disusun khas sepanjang keberadaan mereka di Taman Negara Bako.
Cabaran Hutan Junior Masterchef menguji keupayaan semua peserta menyediakan lima hidangan tradisional Sarawak iaitu sup terung Dayak ikan salai manok pansoh daun ubi, tepus dan bungkang, umai obor-obor, kerabu midin dan nasi putih dimasak dalam buluh.
Sebelum memasak, mereka perlu mencari sendiri bahan-bahan mentah untuk dimasak. Satu aktiviti yang wajib dilakukan di Taman Negara Bako ialah merentas hutan. Taman Negara Bako adalah satu-satunya taman negara di Malaysia yang mempunyai tujuh jenis hutan dalam satu lokasi.
Pada 1971, ahli botani Inggeris, Peter Shaw Ashton menjadi orang pertama yang menyenaraikan semua jenis hutan di situ iaitu tumbuh-tumbuhan pantai, hutan diptrokarp, tumbuhan tebing, hutan kerangas, hutan paya bakau, hutan padang dan hutan paya gambut.
Pelancong boleh memilih mana-mana antara 16 laluan yang disediakan Taman Negara Bako. Laluan paling pendek ialah Tanjung Sapi iaitu 400 meter manakala Teluk Lima sejauh 13 kilometer merupakan laluan paling panjang.
Dis sepanjang laluan, pelancong dapat melihat sendiri kepelbagaian tumbuhan dan haiwan seperti kangkung laut, periuk kera, monyet hidung muncung dan penyu.