Akan dibuka dalam tab baharu

Berita

Belanjawan 2021: Insentif mesra rakyat perkasakan usaha Bumiputera

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Bank Pembangunan) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam sebagai insentif mesra rakyat sekali gus sebagai langkah kerajaan memperkasakan usahawan Bumiputera melalui entiti perbankan itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail, berkata pihaknya amat menghargai tanggungjawab yang diberikan untuk menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membentangkan belanjawan berjumlah RM322.5 bilion dengan insentif mesra rakyat dan langkah rangsangan tepat pada masanya serta diperlukan untuk menghidupkan semula ekonomi.

“Langkah tambahan untuk mengurangkan impak COVID-19 terhadap rakyat dan perniagaan mempunyai signifikan dan kepentingan tertentu.

“Kami di BPMB berbangga diberikan tanggungjawab untuk terbabit sebahagian dari agenda pembangunan melalui Program Pembangunan Nasional; Program Maritim dan Logisitk; Program Pembangunan Mampan; Program Infrastruktur Pelancongan dan Program Pengangkutan Awam.

“Kami juga menyokong langkah kerajaan untuk memperkasakan usahawan Bumiputera melalui BPMB dengan memperkenalkan program pembangunan kapasiti untuk mengurangkan ketaksamaan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad Mohamed berkata, keputusan melanjutkan Program Transformasi Digitalisasi juga akan membantu merangsang inisiatif digitalisasi dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

Beliau berkata pihaknya percaya skim sokongan kewangan ini tepat pada masanya dan efektif dalam memangkin pemulihan ekonomi nasional.