Kota Bharu – Masjid Lundang di Kelantan menjadi masjid angkat dan Rumah Ngaji pertama yang dibarakan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), tajaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan).
Pemilihan tersebut amat dihargai dan disambut baik jawatankuasa masjid termasuk masyarakat sekeliling kerana ia dapat mengimarahkan lagi program keagamaan dan membantu usaha melahirkan Muslim sejati.
Imam Tua Masjid Lundang, Shamsuddin Abdul Rahman berkata, sumbangan dan keprihatinan pihak terbabit dapat membantu merealisasikan harapan untuk memastikan anak-anak di peringkat rendah dapat menguasai Al-Quran sebelum ke tahap menengah.
Ini satu pemberian yang amat berharga kepada pihak masjid untuk merancakkan lagi kelas pengajian kepada anak-anak mukim dan menggalakkan lebih ramai masyarakat mendekati masjid,’ katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Shamsuddin berkata, sejak program Rumah Ngaji diadakan, aktiviti mendekati Al-Quran di sini, menjadi lebih rancak dan mendapat sambutan luar jangka sehingga jawatankuasa masjid terpaksa menghadkan pendaftaran kerana masalah kemudahan tempat belajar.
Bagaimanapun, bagi tidak menghampakan hasrat untuk mendalami ilmu Al-Quran, jawatankuasa masjid melatih 22 guru baharu untuk menampung keperluan semasa. Selain itu, pihak masjid turut mengaktifkan kira-kira enam madrasah di sekitar Lundang untuk memudahkan lagi individu yang berminat mendalami Al-Quran.
Jadi guru-guru ini akan ditempatkan di madrasah berkenaan dan individu yang tidak dapat mengikuti Pembelajaran Al-Quran di masjid tidak perlu susah hati kerana kami menempatkan tenaga pengajar di madrasah berdekatan.
Alhamdulillah, dengan sumbangan yang diberikan pihak bank dan juga Rumah Ngaji, usaha kami akan lebih diberkati ALLAH dan masyarakat dapat beramal ibadat dengan lebih baik, katanya. Menurutnya dengan adanya program Rumah Ngaji, selain dapat menjadi platform mendekati masjid dan mendidik anak-anak mukim bersolat, ia juga dilihat dapat menghimpunkan penduduk tanpa mengira fahaman politik.
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana program sebegini masyarakat dapat megetepikan parti politik masing-masing dan dapat memberi komitmen kepada program keagamaannya, katanya.
Majlis perasmian Masjid Angkat dan Rumah Ngaji tajaan BPMB itu bakal disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah hari ini yang akan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub merangkap Pengasas Yayasan WUI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WUI, Marhaini Yusoff berkata, BPMB menjadi badan korporat pertama yang menyahut seruan program Rumah Ngaji yang diilhamkan oleh Karangkraf. Kita harap dengan komitmen BPMB akan dapat membantu melahirkan masyarakat muslim sejati dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam ajaran Islam, katanya.